Facebook ialah sebuah tapak web rangkaian sosial yang dikendali dan dimiliki secara persendirian oleh Facebook, Inc.[3] Sejak 2006, sesiapa yang berumur 13 tahun ke atas dan memiliki alamat e-mel yang sah boleh menjadi pengguna Facebook. Facebook lebih menyasarkan golongan belia berbanding dewasa.[4][5] Pengguna boleh menambah rakan dan saling menghantar mesej, serta mengemaskini profil peribadi mereka sebagai makluman kepada rakan-rakan. Selain itu, pengguna juga boleh menyertai rangkaian yang dianjurkan oleh tempat kerja, sekolah, atau kolej. Nama Facebook berasal daripada timangan yang digunakan untuk buku-buku yang diserahkan oleh pihak pentadbiran universiti kepada para penuntut pada permulaan tahun akademik di AS dengan tujuan membantu penuntut saling mengenali.
Facebook diasaskan oleh Mark Zuckerberg bersama teman-teman sebiliknya dan rakan-rakan sekursus sains komputer Eduardo Saverin, Dustin Moskovitz dan Chris Hughes.[6] Pada mulanya, keahlian tapak web ini terhad kepada penuntut Harvard, tetapi kemudian beransur-ansur diperluaskan kepada kolej-kolej lain di kawasan Boston, Liga Ivy, dan Universiti Stanford. Selepas itu, Facebook berkembang lagi untuk merangkumi mana-mana pelajar universiti, kemudian pelajar sekolah tinggi, dan akhirnya, sesiapa sahaja yang berumur 13 ke atas. Kini, tapak web ini dianggotai oleh lebih 400 juta pengguna aktif seluruh dunia.[7][8]
Konsep asal Facebook dipinjam dari hasil keluaran Akademi Phillips Exeter, sebuah sekolah persediaan yang pernah dihadiri oleh Zuckerberg, yang menerbitkan dan mengedarkan manual bercetak untuk semua pelajar dan fakulti selama berpuluh-puluh tahun, iaitu "face book".
Twitter ialah perkhidmatan rangkaian sosial dan micro-blogging yang membolehkan pengguna meghantar dan membaca mesej yang dipanggil tweet, iaitu pesanan teks selebih-lebihnya 140 aksara yang dipaparkan dalam halaman profil penulisnya dan diutuskan kepada para pelanggan penulis yang dikenali sebagai "pengikut" (follower). Penghantar boleh mengehadkan utusan kepada lingkungan kawan-kawannya, ataupun membenarkan capaian terbuka kepada semua pengguna web. Pengguna boleh menghantar dan menerima tweet melalui laman web Twitter, SMS atau mana-mana aplikasi luaran. Sungguhpun perkhidmatan Twitter sendiri adalah percuma, namun penggunaaannya melalui SMS boleh dikenakan yuran telekom.
Asalnya, had kepanjangan mesej 140 aksara ditetapkan agar serasi dengan penghantaran SMS, justeru menimbulkan kehadiran bermacam-macam bentuk trengkas dan slanga yang digunakan dalam SMS, di dalam Internet. Had 140 aksara ini juga melahirkan penggunaan khidmat-khidmat peringkasan URL seperti tinyurl, bit.ly dan tr.im, dan juga khidmat pengehosan kandungan seperti Twitpic dan NotePub untuk menampung kandungan multimedia dan teks yang mencecah 140 aksara.
Semenjak dilahirkan pada tahun 2006 oleh Jack Dorsey, Twitter makin hari makin laris digunakan dan tinggi pentingnya bagi para pengguna Internet. Adakalanya, Twitter disifatkan sebagai "SMS untuk Internet"[3] kerana penggunaan antara muka pengaturcaraan aplikasi Twitter bagi menghantar dan menerima pesanan teks ringkas oleh aplikasi lain sering menyelubungi penggunaan Twitter secara terus.
No comments:
Post a Comment